Hai, semua ! Selamat Datang Ke Blog Anak Felda Bersia Gerik. | Mengenai Kami | Hubungi | Daftar | Log Masuk

Saturday, 18 June 2011

KWSP diminta jelaskan pinjaman RM6 bilion Felda


Pihak lembaga pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu menjelaskan kedudukan pinjaman RM6 bilion yang didakwa diberikan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Jika ini benar, semua penyimpan KWSP berhak untuk tahu sejauh mana pinjaman ini dijamin dapat dilunaskan oleh Felda, dalam tempoh selama mana dan apakah tujuan pinjaman itu dilakukan oleh pihak Felda?” soal Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS) Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, adalah aneh ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mempertahankan bahawa FELDA meraih keuntungan sebanyak RM1.197 bilion tahun lalu, tetapi KWSP pula meluluskan pinjaman RM6 bilion seperti yang didakwa.

“Jika benar ada justifikasi, apakah syarat pinjaman sebesar itu telah diteliti agar KWSP tidak menanggung risiko yang akan mengakibatkan kerugian ditanggung oleh para penyimpan.


“Pinjaman yang besar itu tidak mungkin dapat dilihat sebagai bukan bebanan kepada peneroka Felda kerana ia perlu dibayar balik walau dalam keadaan apa sekalipun. Akhirnya peneroka Felda dan penyimpan KWSP lah yang menanggung risiko,” katanya.

Mohd Azmi berkata Ahmad Maslan tidak harus berdolak-dalik dengan alasan bila menjawab secara mengelirukan di Parlimen.

“Persoalannya adalah jelas. Kenapa Felda perlu pinjam dari KWSP sebesar RM6 bilion dan kenapa pelaburan Felda melalui Felda Global Ventures di luar negara rugi sebesar RM500 juta dari 2007 hingga 2010?


“Jawapan yang sangat kabur dan menimbulkan banyak pertanyaan lain menyebabkan rakyat dan peneroka ada sebab untuk sangsi kepada pengurusan Felda. Tahun lalu sahaja , Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009,” katanya lagi.

Menurut Mohd Azmi, berdasarkan perkembangan beberapa kes di mahkamah yang menunjukkan peneroka menang dalam saman mereka ke atas Felda, bermakna ada pengurusan yang tidak kena di Felda sendiri.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/
06:29 | 2 comments

Felda: Untung RM1bilion tapi hutang RM6 bilion


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan didapati memberi keterangan bercanggah dan berdolak dalih ketika cuba mencanang Felda sebagai sebuah syarikat kerajaan yang mencatatkan keuntungan berlipat ganda dan kononnya tidak pernah “membebankan” peneroka-peneroka dengan pinjaman yang diambil oleh mereka.

Bagaimanapun Ahmad mengaku di Parlimen semalam bahawa meskipun kedudukan Felda begitu utuh, syarikat itu membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad juga menegaskan tidak ada syarikat dalam kumpulan Felda yang menanggung kerugian.

Ini menurutnya adalah kerana Felda mencatat keuntungan RM1.197 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun Ahmad kemudian mengakui bahawa sebuah syarikat yang dibeli untuk memasuki pasaran minyak masak di Amerika Utara menanggung kerugian.

Namun katanya, kerugian itu fenomena biasa dalam pembelian aset di luar negara.

Pada ucapannya di parlimen itu, Ahmad mempertikaikan angka-angka yang dirujuk oleh ketua pembangkang mengenai kerugian terkumpul Felda sebanyak RM500 juta dari tahun 2007 hingga 2010.

Sebahagian besar daripada kerugian itu dikatakan ditanggung oleh Felda Global Ventures menerusi pelaburan-pelaburan rapuh di luar negara, kata Anwar sambil memberikan contoh-contoh pelaburan yang dimaksudkan.


Tidak pernah tindas
Anwar meminta kerajaan Umno-BN menyatakan sama ada RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing.


“Saya tidak tahu dari mana ahli parlimen Permatang Pauh mendapat angka-angka ini,” kata Ahmad dengan sekali lagi mencanang keuntungan RM1.197 bilion Felda tahun lalu.

Anwar berkata Felda sepatutnya mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda sekiranya pengurusan lebih telus.

Namun akibat pengurusan lembab, peneroka dinafikan hak untuk menikmati keuntungan lebih tinggi memandangkan harga kelapa sawit dan getah dunia melambung tinggi.


Anwar menegaskan pencapaian anak syarikat Felda tidak mencerminkan aset begitu luas yang dimiliki oleh Felda serta potensi keuntungan yang bakal dicapai.

Tahun lalu, Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.

Peneroka Felda dilihat sebagai “simpanan tetap” Umno ketika pilihanraya dan sebarang kritikan terhadap pengurusan Felda sering mengundang tindakan padah daripada pemerintah.

Ahmad pada siadang Dewan Rakyat juga mendakwa peneroka Felda tidak pernah ditindas, namun keputusan-keputusan mahkamah dalam beberapa saman yang difailkan oleh peneroka
menunjukkan hakikat yang sebaliknya.


Ribuan peneroka Felda memenangi hak untuk mendapatkan pampasan daripada Felda setelah hakim memutuskan mereka ditipu bayaran untuk hasil sawit yang diusahakan.

Antaranya, Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Wira Arjuna adalah seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/
06:24 | 0 comments

Friday, 17 June 2011

Dakwa ditipu: Peneroka Jengka pula saman Felda


Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berdepan dengan satu lagi saman - kali ini dari 711 peneroka rancangan Jengka, Pahang yang memfailkan saman RM344 juta berhubung dakwaan berlaku penipuan dan pecah amanah.

Sebelum ini, Felda disaman oleh peneroka dari Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam Ms Daim & Gamany pagi ini, dengan menamakan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.
Dalam kenyataan tuntutan mereka, peneroka berkenaan mendakwa mereka terikat oleh Felda untuk hanya menghantar hasil kelapa sawit kepada Felda Palm Industries sahaja.

Mereka mendakwa sentiasa dibayar mengikut kadar perahan gred Kadar Perahan Asas (OER) sejak 15 tahun yang lalu - purata 18.5 peratus seperti yang dinyatakan dalam Akuan Penerimaan BTS - resit yang diberikan bagi setiap lori yang menghantar tandan buah sawit.

Peneroka berkenaan mendakwa tidak ada bukti jelas yang menunjukkan bagaimana Felda Palm Industries menetapkan kadar yang berbeza itu, yang diberikan setiap hari di setiap tempat penghantaran.

Peneroka mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila mereka menyedari yang mereka tidak mampu menyamai kadar lebih tinggi yang diperakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Peneroka, melalui wakil mereka, menghantar contoh rawak hasil buah kelapa sawit mereka kepada makmal bebas untuk menilai kadar sebenar OER.

Keputusan ujian makmal itu menunjukkan kadar purata lebih tinggi sebanyak 27 peratus, yang bermaksud perbezaan purata 8.5 peratus berbanding kadar yang digunakan oleh defendan kedua.
Peguam mendakwa mereka mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa pada 2008, 711 peneroka dari 16 rancangan Felda Jengka telah menghantar purata hasil 120 tan setiap seorang.

Peneroka terbabit dibayar oleh Felda pada purata harga RM560 setan pada tahun yang sama.

Dengan menggunakan angka kekurangan 8.5 peratus itu, Felda telah menyebabkan setiap peneroka kerugian RM257.60 setan, iaitu kira-kira RM30, 912 bagi tahun 2008 sahaja.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/
00:37 | 0 comments

Tuesday, 14 June 2011

Felda kalah lagi, diarah bayar RM1.2 juta


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Seramai 131 peneroka Felda Kemahang 1 dan 2 menerima berita gembira hari ini apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan Felda membayar RM1.2 juta kepada mereka.

Kes tersebut difailkan peneroka yang gagal mendapat semula wang caruman mereka di bawah tabung wang tanam semula yang diuruskan Felda melalui peguam Wan Rohaimi Wan Daud.

Keputusan tersebut dibuat Hakim Datuk Mohd Azman Husin jam dan mengarahkan wang tabung tersebut ditaksirkan.

Menurut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman sejumlah RM1.2 juta itu dikira daripada caruman pokok peneroka termasuk caruman yang dibuat setiap bulan selama lebih kurang 20 tahun.

Manakala dividennya juga dikira dalam tempoh 20 tahun itu.

Mazlan menyifatkan keputusan tersebut sebagai sangat menggembirakan peneroka dan membuktikan perjuangan mereka menuntut keadilan semakin mendapat perhatian.

"Ini satu keputusan yang menggembirakan yang ditunggu-tunggu selama ini dan mengulang kes yang sama yang dibawa peguam Hanipa Maidin dalam kes saman peneroka Sungai Koyan terhadap Felda sebelum ini dan ini kemenangan buat kesekian kalinya.

"Ini menandakan bahawa perjuangan warga felda mendapat tempat dan kebenaran akhirnya memihak kepada peneroka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ogos tahun lalu, seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan, menerima ganti rugi berjumlah RM11 juta dari Felda kerana manipulasi gred buah kelapa sawit.

Mazlan juga berkata, kemenangan kali ini sangat penting untuk menyuntik semangat peneroka agar terus berjuang menuntut hak mereka.

"Ini satu keputusan yang penting kerana melibatkan lebih kurang 10 ribu lagi peneroka yang tidak mendapat wang tanam semula dan ada kesnya yang sedang dibicarakan," katanya.

Mazlan turut memberitahu, lebih kurang 700 peneroka dari sekitar Felda Jengka akan memfailkan saman terhadap Felda di Mahkamah Tinggi Temerloh berhubung kadar perahan gred (kpg) sawit yang diterima mereka begitu rendah.

"Kes ini akan diketuai peguam Sivarasa Rasiah," katanya.

Sekretariat Task Force Felda

Sementara itu Mazlan turut memaklumkan bahawa satu diskusi mengenai akta penempatan berkelompok (GSA) 1960 berlangsung di Bangunan SUK Selangor hari ini dan dirasmikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Diskusi tersebut dianjurkan oleh Sekretariat Task Force Felda yang ditubuhkan Kerajaan Negeri Selangor.

"Ahli panel terdiri daripada para peguam yang membentang dan menghurai tentang GSA dari sudut kelemahan,kepincangan dan apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk melakukan penambah baikan terhadap felda ini termasuk keadilan akta ini kepada peneroka," katanya.

Beliau berkata, hasil diskusi tersebut, mereka bersetuju untuk memperincikan semua kelemahan yang terdapat dalam GSA ini agar dilakukan semakan semula supaya dapat memberi keadilan kepada pemilik tanah.

Mazlan merupakan salah seorang ahli jawatankuasa task force tersebut.

Sumber: http://bm.harakahdaily.net/
07:39 | 0 comments

Lagi kes peneroka akan saman Felda


Satu lagi kumpulan peneroka Felda dijangka akan mengemukakan saman ke atas lembaga pembangunan tanah berkenaan berhubung dakwaan penipuan bayaran untuk hasil sawit.

Saman yang akan difailkan pada Jumaat ini melibatkan kerugian didakwa mencecah RM1,000 setandan yang ditanggung oleh 700 peneroka berkenaan, kata seorang anggota Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Rebin Birham.


Beliau mendakwa, ujian makmal menunjukkan buah sawit berkenaan mempunyai kadar perahan minyak setinggi 26 peratus, namun Felda menetapkan bahawa kadar perahan bagi buah berkenaan adalah sebanyak 17 peratus.

Beberapa ratus orang peneroka lagi turut dijangka akan turut serta dalam tindakan saman itu, kata Rebin lagi ketika ditemui di satu bengkel anjuran Sekretariat Task Force Felda Selangor hari ini.

Saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh itu merupakan susulan kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu yang memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang.

Kumpulan peneroka Temerloh ini akan diwakili peguam R Sivarasa yang sebelum ini mewakili peneroka di Serting dan Gugusan Raja Alias dalam saman berjumlah RM200 juta ke atas lembaga tanah berkenaan.

Selain itu, Felda juga berdepan dengan tindakan saman daripada sekumpulan 32 orang peneroka di Jempol yang menuntut hak mereka bagi melantik kontraktor untuk menebang pohon getah.

Sementara itu, pengerusi biro berkenaan, Suhaimi Said pula berkata, lebih banyak lagi saman yang akan dikemukakan oleh golongan peneroka ke atas Felda.

Seramai 300 orang lagi peneroka di Felda Keratong telah sedia untuk mengemukakan saman, manakala kumpulan peneroka di Johor dan Perak sedang bersiap sedia bagi mengambil langkah sama, kata aktivis hak asasi itu.

Tambahnya, peneroka berkenaan terpaksa mengambil langkah saman memandangkan rundingan yang dijalankan dengan Felda tidak membuahkan hasil.

"Saudara Mazlan Aliman dah berapa kali tulis surat untuk berunding. Tapi bila berjumpa, (pegawai Felda) kata 'kamu ini tak pandai bersyukur.' Kalau dia kata tak bersyukur nak runding apa? Jadi kita terpaksa saman," katanya lagi dalam bengkel berkenaan.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/
04:34 | 0 comments

Selangor garis tiga pelan untuk peneroka Felda


Kerajaan Selangor bakal menumpukan tiga rancangan utama bagi golongan peneroka Felda di negeri itu dalam usahanya untuk meraih sokongan masyarakat berkenaan dalam pilihan raya akan datang.

Tiga rancangan berkenaan – pemberian hak milik tanah kepada peneroka, pembinaan rumah mampu milik dan juga penamatan status tanah berkelompok – dikemukakan hari ini kepada Sekretariat Task Force Felda Selangor.

Usaha berkenaan dijangka akan dapat dilakukan melalui dua peruntukan bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang dapat memberi lebih kuasa kepada kerajaan negeri dalam soal pentadbiran tanah berkenaan.

Salah satu daripada ruang undang-undang berkenaan ialah bidang kuasa yang diberikan kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan geran mengikut Seksyen 10 akta berkenaan, kata pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said.

Satu lagi ruang berkenaan ialah peruntukan bawah Seksyen 44 yang membolehkan kerajaan negeri menamatkan rancangan berkelompok dan mengambil semula ladang di bawah kuasa Felda, kata Suhaimi lagi.

"Macam mana hendak keluarkan (daripada penempatan berkelompok)? Senjata yang digunakan ialah (Akta Penempatan Berkelompok) dan kontrak yang berat sebelah. Walau kawasan sudah diberi hak milik, mesti dijual kepada pembeli yang ditetapkan Felda."


Geran tanah
"Kalau hendak keluarkan mereka (dari penempatan berkelompok), mesti kaji bawah kuasa 44 untuk tamatkan," katanya lagi ketika membentang kertas kerjanya dalam majlis perbincangan berhubung isu berkenaan.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga harus mengambil peluang untuk mengumumkan pakej bagi membina rumah mampu milik, khususnya bagi golongan muda yang dilahirkan di kawasan Felda berkenaan.

Beliau memberi contoh, kawasan seluas lebih 30 ekar di kawasan Felda Suharto yang sesuai untuk dijadikan tapak bagi perumahan berkenaan.

Tambahnya, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga telah bersetuju supaya satu cadangan dikemukakan bagi membolehkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri.


Hak bantah

Bagi proses mendapatkan geran pula, Suhaimi berkata kerajaan negeri hanya perlu memberitahu Felda bahawa peneroka itu akan diberikan geran tanah.

"Felda ada hak bantah, tapi (kerajaan negeri) ada hak keluarkan geran," katanya lagi.

Seorang lagi ahli panel dalam perbincangan itu, Mazlan Aliman pula berkata, usaha yang dilakukan bagi golongan peneroka berkenaan sepatutnya ditawarkan dalam pakej seperti manisfesto Buku Jingga Pakatan Rakyat.

"Ini akan jadi isu utama yang kita akan jadikan peluru pilihan raya. Felda bukan lagi talian hayat BN, (malah) kubu mereka inilah yang akan runtuhkan BN," kata pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan itu lagi dalam majlis perbincangan sama.

Majlis perbincangan di Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor itu turut dihadiri menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim, anggota exco dan juga sekitar 60 orang ahli majlis serta peneroka.

Sekretariat yang telah ditubuhkan sejak lebih setahun itu sebelum ini dikepalai oleh Datuk Zaid Ibrahim yang bertindak keluar daripada PKR dan kini mengetuai parti baru KITA.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/
04:12 | 0 comments

ANAK: Jelaskan pinjaman RM6 bilion Felda


Kerajaan diminta menjelaskan tujuan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuat pinjaman sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman (kiri) berkata, sekiranya laporan yang diterima pihaknya dua minggu lalu itu tidak benar, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mesti membuat penafian.

Sebaliknya jika ia benar, ANAK, katanya menuntut penjelasan segera mengenai penggunaan wang tersebut.

"Laporan yang anak terima dua minggu lalu melalui minit mesyuarat 6 April lalu menyebut Felda telah meminjam daripada KWSP sebanyak RM6 bilion. Untuk apa wang RM6 bilion ini dipinjam?

"Kerajaan mesti membuat penjelasan segera kerana ia memberi implikasi sangat buruk kepada pengurusan Felda dan keseluruhannya," katanya kepada Harakahdaily di ibu pejabat PAS, di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut mendakwa Felda sedang mengalami krisis kewangan yang serius sehingga terpaksa membuat pinjaman tersebut dalam pada Felda diwarwarkan sebagai agensi yang mempunyai keuntungan yang tinggi selepas Petronas.


Laporan Felda meminjam daripada KWSP ini katanya timbul ketika isu kemerosotan rezab Felda belum lagi reda.

"Ketika menjawab soalan tambahan di Parlimen seperti didedahkan media pada17 dan 18 jun 2010, Datuk Ahmad Maslan (dua dari kiri) mengakui bahawa kedudukan tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.

"Kemerosotan RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun sesuatu yang sangat mengejutkan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Ahmad dalam jawapannya itu memberi alasan bahawa kemerosotan itu disebabkan sejumlah wang digunakan untuk tujuan tertentu.


RM2 bilion katanya digunakan untuk pembangunan tanam semula termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta untuk pinjaman rumah, RM253 juta untuk Tabung Kemiskinan Sabah dan RM662 juta untuk bangunan baru Felda.

Mazlan berkata, meskipun laporan polis telah dibuat agar siasatan dilakukan mengenai penggunaan wang tersebut, dan keraguan munasabah terhadap ketelusan pengurusan kewangan, sehingga hari ini tidak ada sebarang maklumat daripada pihak polis.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/
04:07 | 0 comments